Pertarungan `Abang-abang` di Sarawak

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 membuka tirainya bermula proses penamaan calon pada 6 Disember lalu dan akan berakhir 18 Disember nanti selepas pembuangan undi.

Seramai 394  calon akan beradu nasib merebut jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak, dari Opar hinggalah ke Bukit Sari, menyusuri Sungai Rajang dan merentasi banjaran-banjaran Tama Abu, Kapuas dan Pergunungan Iran.

Bagi negeri dengan populasi penduduk seramai 2.9 juta orang itu, PRN kali ini bakal melibatkan 1.25 juta pengundi di negeri berkeluasan 124,450 km persegi itu.

Secara demografi, Sarawak umumnya mempunyai enam etnik utama iaitu Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Orang Ulu, dan Melanau selain lebih 40 kumpulan etnik kecil seperti India, Serani, Kedayan, Jawa, Bugis, Murut dan lain-lain.

Orang Melayu membentuk kira-kira 15.5 peratus daripada penduduk Sarawak, kira-kira tiga kali lebih kecil bilangannya daripada orang Iban yang membentuk hampir separuh daripada populasi Bumi Kenyalang dengan peratusan setinggi 45 peratus.

Peratusan bilangan orang Melayu tidak jauh dengan orang Cina yang membentuk 14.7 peratus, diikuti orang Bidayuh (9.4 peratus), Orang Ulu (8.9 peratus) dan Melanau (6.0 peratus).

Dengan peratusan yang tidak besar ini, orang Melayu walau bagaimanapun telah menerajui Sarawak di kerusi Ketua Menteri (KM) sejak Tan Sri Adenan Satem (Allahyarham) menjawat jawatan tersebut dari 2014.

 

`Abang` pertama jadi KM

Sebelum Adenan, Sarawak diterajui oleh Stephen Kalong Ningkan (Iban), Tawi Sli, Abdul Rahman Ya’kub (Melanau), dan Abdul Taib Mahmud (Melanau).

Stephen mewakili Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Tawi dari Parti Pesaka Sarawak (Pesaka) manakala Abdul Rahman Ya’kub, Abdul Taib Mahmud, Adenan dan Ketua Menteri selepas itu, Abang Johari Abang Openg masing-masing dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang pada ketika itu menganggotai Barisan Nasional (BN).

Adenan walau bagaimanapun tidak lama di kerusi Ketua Menteri apabila meninggal dunia tiga tahun selepas mengangkat sumpah, sebelum cukup sepenggal memegang jawatan.

Abang Johari Abang Openg yang kemudiannya menyambung tugas KM dari tangan Allahyarham Adenan merupakan orang Melayu kedua menjadi KM Sarawak dan yang pertama dari susur galur keluarga perabangan.

Menurut sejarah, gelaran `Abang` dikatakan dimiliki golongan bangsawan Melayu Sarawak dari keturunan Datu Merpati Jepang, putera raja Majapahit yang berhijrah ke wilayah itu pada kurun ke-15.

Seorang rakan berasal dari Sarawak yang kini menetap di Lembah Klang berpandangan keturunan Abang adalah golongan Melayu Asli Sarawak, dengan mengambil contoh penyanyi kelahiran Kuching, Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty.

Keluarga perabangan di Sarawak seperti juga gelaran serupa; Awang, Pangeran, dan Awangku bagi Melayu Brunei, jelasnya, tersebar di seluruh Sarawak, namun kebanyakan mereka tertumpu di Kuching.

 

Tiga parti berpengerusi `Abang`

Dalam PRN Sarawak kali ini, apa yang menarik adalah selain Abang Johari yang mentadbir negeri sebagai Ketua Menteri dan mempengerusikan partinya, PBB dan gabungan parti, Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekurang-kurangnya ada dua lagi parti di sana yang juga berpengerusikan `Abang`.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Sarawak pada ketika ini tidak mempunyai pengerusi selepas dua bekas pengerusinya masing-masing meninggalkan parti dengan menyertai parti lain.

Bekas pengerusinya, Baru Bian meninggalkan parti itu dalam peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 apabila pada satu ketika bersama-sama kumpulan Azmin Ali, sebelum pada ketika lain menyokong Tun Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Selangau itu walau bagaimanapun kemudiannya menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan akan mempertahankan kerusi DUN Ba’kelalan dalam PRN Sarawak kali ini di bawah tiket parti terbarunya itu.

Pengerusi PKR negeri seterusnya adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang juga meninggalkan parti bagi menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari tahun ini.

Jawatan pengerusi PKR negeri kemudiannya dipangku Abang Zulkifli Abang Engkeh yang buat masa ini masih kekal dengan parti itu dan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Beliau adalah `Abang` seterusnya yang memimpin parti di Sarawak selain Abang Johari yang juga dikenali dengan gelaran Abang Jo.

 

`Abang` mana jadi pilihan

Satu lagi parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) turut berpengerusikan ‘Abang’, dalam sosok Abang Abdul Halil Abang Naili yang akan mencuba nasib bertanding di DUN Samariang dalam Parlimen Petra Jaya.

Selain tiga orang pengerusi ini, PRN Sarawak kali ini turut ada tiga orang lagi ‘Abang’ - Abang Abd Kasim Abd Bujang yang bertanding di DUN Lingga mewakili PKR, dan Abang Ahmad Abang Suni yang bertanding di DUN yang sama, tapi mewakili Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).

Seorang lagi ‘Abang’ yang bertanding adalah Abang Aditajaya Abang Alwi yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Kuala Rajang - dalam parlimen Tanjong Manis.

Dari kesemua ‘Abang’ yang bertanding, Abang Jo dilihat calon paling selesa merebut kerusi DUN walaupun kali ini bertanding di kerusi baru, Gedong, dan tidak mempertahankan kerusi Satok yang didudukinya sejak empat puluh tahun yang lalu.

Berbekal status Ketua Menteri sebelum ini, beliau dilihat tidak berdepan laluan sukar menang di sana malah memimpin partinya, PBB menerajui negeri buat kesekian kali di bawah panji-panji baru, GPS.

Namun bagi lima Abang yang lain, mereka perlu membuktikan sesuatu dan mendaki cabaran setinggi Gunung Mulu barangkali bagi meraih kepercayaan pengundi di DUN yang ditandingi.

Abg Abd Rahman Zohari Abg OpengAbang Zulkifli Abang EngkehAbang Abdul Halil Abang NailiPRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :